Wednesday, September 12, 2007

MALAPETAKA "KUBUR" PENDUDUK SEKITAR HUTAN SIMPANAN AYER HITAM

Sehingga kini, penduduk-penduduk di Taman-taman perumahan di sekeliling Hutan Simpanan Ayer Hitam (HSAH) amat bertuah dan berbangga kerana dapat menikmati alam semulajadi yang begitu indah dan udara nyaman yang bersepoi-sepoi, hasil dari hutan rimba yang diperlihara dengan sempurna.

Di samping itu, HSAH, juga merupakan salah satu hutan yang tertua di dunia dengan kepelbagaian fauna dan flora yang tiada tolok bandingannya.

Malangnya, satu peristiwa gelap bakal menimpa HSAH dan penduduk-penduduk di sekitarnya.

MPSJ akan mengorbankan 50 ekar HSAH untuk membina sebuah tapak perkuburan pelbagai kaum yang dilengkapi dengan RUMAH BAKAR MAYAT.

Lebih-lebih lagi, JALAN PENYAMBUNG TANPA TOL dari Puchong (melalui Saujana Puchong) ke Seri Kembangan (melalui Lestari Puchong) yang sepatutnya dibina mengikut perancangan awal juga telah dikorbankan disebabkan pembinaan tapak perkuburan ini.

Selain itu, tapak perkuburan ini akan membawa pelbagai malapetaka ekonomi, sosial dan mental kepada penduduk-penduduk sekitar.

Malapetaka #1
Harga rumah penduduk sekitar, akan menurun secara mendadak, menghapuskan wang hasil titik peluh mereka. Secara keseluruhan, beratus-ratus juta wang penduduk akan dikorbankan begitu sahaja.

Malapetaka #2
Angin nyaman bersepoi-sepoi yang begitu dihayati penduduk sekitar akan digantikan dengan angin ngeri dan berhabuk yang bukan sahaja menyeramkan hati tetapi juga menjejaskan kesihatan penduduk.

Malapetaka #3
Kedai-kedai keranda dan kedai-kedai lain yang membekalkan pelbagai barang-barang keperluan pengebumian akan mengambil-alih kedai-kedai keperluan penduduk yang ada sekarang. Lama-kelamaan, Taman Perumahan kita akan bertukar ke Taman Perkuburan.

Malapetaka #4
Setiap hari, penduduk-penduduk akan dibebankan dengan ‘Trafik Jam’ Kereta Keranda.

Untuk melindungi HSAH dan kepentingan penduduk-penduduk sekitar, pihak SCT telah mengambil tindakan perundangan terhadap MPSJ dan Kerajaan Selangor.
Malangnya, sehingga hari ini, perbicaraan belum bermula dan masih ditangguhkan oleh pihak MPSJ. Disebabkan ini, MPSJ mempunyai hak untuk memulakan kerja pada bila-bila masa!

Penduduk-penduduk di sekitar HSAH memahami bahawa Tapak Perkuburan adalah satu keperluan rakyat.

Tentang aspek in, apa yang penduduk mahukan adalah:

a. HSAH dan hak penduduk tidak dikorbankan dengan sewenang-wenangnya.

b. Perlaksanaan projek kerajaan adalah telus, adil dan saksama.

Untuk memenuhi kedua-dua syarat ini, beberapa perkara patut disoal:

a. Mengapa Tapak Perkuburan ini tidak dibina di tempat yang tidak mengorbankan hutan dan
penduduk? Betulkah di Negeri Selangor tiada lagi tanah yang bersesuaian?

b. Mengapa Tapak Perkuburan, yang merupakan perancangan jangka panjang, tidak dirancang dan diberitahu kepada penduduk sekitar semasa kita membeli rumah di sini? Semasa kita membeli rumah, yang diberitahu adalah hutan simpanan adalah bersebelahan rumah kita! Patutkah kesilapan dalam perancangan kerajaan DITANGGUNG SEPENUHNYA oleh
RAKYAT?

c. Mengapa 50 ekar HSAH dikorbankan? Adakah ini disebabkan tanah tidak melebihi 50 ekar
tidak memerlukan laporan EIA (Environment Impact Analysis)? Bolehkah kawasan HSAH
yang lain dikorbankan dengan cara yang sama pada masa akan dating?

d. Mengapa hanya 2 penduduk mendapat surat tentang hal ini manakala penduduk yang
dibebankan melebihi 4000 rumah tangga?

e. Mengapa kerja-kerja pengukuran tanah dijalankan pada hujung minggu? Adakah ini kerana
mahkamah tidak dibuka pada hujung minggu?

f. Dan soalan yang paling penting, adakah pengorbanan penduduk sekitar berbaloi? Adakah
pengorbanan satu-satunya hutan simpanan yang tertua di dunia ini berbaloi? Untuk
sesuatu perkara yang boleh diselesaikan dengan cara yang lebih bijak.

Dengan segala hormatnya, pihak SCT menjemput penduduk-penduduk sekitar untuk menyertai aktiviti-aktiviti SCT dan memberi sokongan padu kepada kami supaya kita boleh bersatu-padu melindungi warisan HSAH, harta benda satu sama lain dan yang paling penting SUARA KITA dapat DIDENGAR dan DIHORMATI oleh PIHAK BERKUASA.