Kubur: Penduduk tagih janji
PUCHONG 28 Sept. - Lima persatuan penduduk di sini mahu menyerahkan memorandum setelah tiga bulan menunggu janji kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu Tanah Perkuburan di Hutan Simpanan Ayer Hitam (HSAH).
Pengerusi Kumpulan Kempen Tandatangan (SCT) yang mewakili lima persatuan penduduk di situ, Lee Wai Hong menjelaskan, isu itu merupakan masalah besar yang masih belum menemui jalan penyelesaian sejak lima tahun dulu.
Tegasnya, sebelum ini kerajaan Selangor memaklumkan akan memberi jawapan selewat-lewatnya pada 22 September namun sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas diterima.
"Kerajaan Selangor terus senyap dan ini membuktikan enggan mendengar tuntutan serta rayuan masyarakat di sini.
"Penduduk tempatan mempunyai kuasa untuk membantah apa-apa cadangan yang terkandung di dalam peta cadangan guna tanah Majlis Perbandaran Subang Jaya. Kami mahu isu ini diselesaikan segera," katanya.
Lima kawasan perumahan yang menyertai SCT ialah Bandar Bukit Puchong, Gateway Puchong, Lestari Puchong, Mutiara Puchong dan Saujana Puchong.
Tambah Wai Hong, pihaknya juga terkejut bahawa cadangan tanah perkuburan di Hutan Simpanan Ayer Hitam telah diperluaskan dari 51.5 ekar ke 147 ekar.
Ini menyamai tiga kali rancangan perkuburan asal yang dicadangkan sebelum ini.
Jelasnya, lebih kurang 90 peratus penduduk tempatan yang mewakili lebih daripada 1,500 kediaman telah menandatangan untuk membantah rancangan tersebut.
"Perancangan ini bukan sahaja menjatuhkan nilai harga rumah, maka ia akan membawa kesan negatif kepada penduduk dengan tapak perkuburan pelbagai kaum.
"Tapak kubur ini juga akan mengorbankan banyak kawasan hijau di HSAH yang seharusnya dikekalkan atau dibuat projek jalan yang lebih memberi manfaat kepada penduduk di sini," jelasnya.
Oleh itu, katanya, pihak berkuasa harus segera mengalihkan perancangan kubur itu ke suatu tempat yang jauh dari tempat kediaman tanpa mengorbankan alam semulajadi.
"Kita sudah terlalu kecewa dan tidak teragak-agak untuk berhimpun seandainya permintaan ini tidak didengar," ujarnya.
No comments:
Post a Comment